Memandangkan lebih banyak kerja dilakukan secara dalam talian serta perniagaan besar dan kecil menerima transformasi digital, PDF dan dokumen digital telah menjadi teras kepada cara kerja dan perniagaan dijalankan. Kontrak undang-undang, tandatangan elektronik dan digital serta proses menandatangani dokumen juga menjadi semakin digital seiring dengan dokumentasi.
Tandatangan elektronik merupakan penghasilan semula tandatangan dalam bentuk imej yang diletakkan pada dokumen digital atau PDF. Ini boleh dalam bentuk imbasan tandatangan tradisional (dakwat) anda yang diletakkan pada dokumen. Ini juga boleh jadi tandatangan tangan yang anda hasilkan dengan stilus pada peranti digital.
Pernah menurunkan tandatangan pada peranti mudah alih untuk menerima penghantaran? Itulah e-Tandatangan!
Apabila bercakap tentang tandatangan digital, kami maksudkan tentang tandatangan elektronik lanjutan dengan ciri tambahan untuk keselamatan dipertingkatkan. Tandatangan digital menggunakan kaedah kriptografi khas bagi menghasilkan cap jari digital yang unik untuk setiap penandatangan. Cap jari digital ini digunakan untuk mengesahkan penandatangan dan dikeluarkan oleh pihak berkuasa rasmi untuk pensijilan.
Tandatangan digital juga disertakan dengan cap masa Pengesahan Jangka Panjang (atau LTV). LTV mencatat tarikh dan masa sebenar dokumen ditandatangani dan menjadi tidak sah jika dokumen telah diubah atau diusik.
Secara teknikal, tandatangan digital dan elektronik sah di sisi undang-undang, akan tetapi undang-undang mungkin berbeza bagi setiap negara. Undang-undang juga mungkin berbeza bagi setiap negeri di AS. Oleh itu, penting agar anda menyemak undang-undang dan keperluan tempatan tentang kesahan e-Tandatangan atau tandatangan digital apabila bekerja dengan dokumen dan kontrak penting.
Kami telah mengumpulkan cerapan dari seluruh dunia untuk berkongsi beberapa aspek undang-undang yang paling penting berkenaan tandatangan digital dan elektronik berdasarkan negara dan kawasan tertentu, dan kami harap cerapan ini berguna buat anda. Walau bagaimanapun, sila ingat bahawa halaman ini bertujuan untuk berkongsi maklumat umum dan tidak membentuk nasihat guaman.
Kami telah berusaha sebaik mungkin untuk memastikan maklumat ini tepat dan terkini, namun disebabkan perkara sentiasa berubah dengan cepat, kami tidak dapat menjamin maklumat ini mewakili versi terbaharu topik yang menjadi persoalan. Tiada tindakan perlu diambil berdasarkan maklumat ini. Smallpdf dan pekerjanya menafikan sebarang liabiliti yang berkaitan dengan tindakan yang sedang diambil atau tidak diambil dengan bergantung kepada maklumat ini setakat yang dibenarkan oleh undang-undang.
Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan atau ketidakpastian tentang kesahan tandatangan elektronik dan/atau digital di kawasan, negeri atau negara anda, sila rujuk undang-undang tempatan anda dan/atau pakar perundangan untuk mendapatkan nasihat.